Ini merupakan keratan berita dari
Metro pada 08/11/2013. Moga menjadi pedoman buat kita semua. Insyallah.
-----
SEGAMAT: "Ketika proses menggali dan mengeluarkan mayat arwah ibu
mentua dijalankan semalam, secara tiba-tiba seluruh kawasan tanah
perkuburan ini berbau harum.
"Saya sendiri lihat kain kapan ibu mentua masih dalam keadaan
sempurna dan tidak reput. Ia hanya dikotori tanah saja," kata Abdullah
Abdul Karim, 74, hari ini.
Abdullah adalah menantu kepada arwah Maheran Jaaffar, 74, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 2006.
Ketika dikeluarkan dari liang lahad di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Batu Badak di sini, mayat arwah Maheran masih dalam keadaan
sempurna.
Mayatnya antara 16 mayat yang dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan yang masih dalam keadaan sempurna.
Tanah perkuburan yang berusia 100 tahun itu digali untuk memberi laluan kepada projek pelebaran Jalan Segamat-Ledang.
Keseluruhannya, 350 kubur terbabit dalam pemindahan berkenaan dan
mayat akan disemadikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai
yang terletak tidak jauh dari lokasi berkenaan.
Menceritakan amalan arwah Maheran sepanjang hayatnya, Abdullah
berkata, ibu mentuanya sentiasa mengamalkan bacaan zikir selepas bangun
daripada tidur.
"Dia tidak pernah mengambil sarapan sebelum berzikir. Arwah juga sangat patuh kepada suami selain tidak pernah putus ke masjid.
"Sepanjang hayatnya, arwah ibu mentua tidak pernah meninggalkan
suruhan agama malah turut mengajar mengaji kepada anak jiran," katanya
ketika ditemui.
Selain itu, menurut Abdullah, arwah ibu mentuanya juga seorang yang pemurah dan sering bersedekah.
"Arwah seorang yang agak pendiam namun tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu serta isteri.
"Saya bekerja sebagai penjaga kubur di tanah perkuburan ini sejak 20
tahun lalu. Pengalaman melihat keadaan jenazah arwah ibu mentua yang
masih sempurna menunjukkan kebesaran Allah SWT dan Dia memang tidak
pernah memungkiri janji-Nya," katanya.
Menurut Abdullah, dia bersyukur dengan apa yang ditunjukkan oleh
Allah SWT kerana ia boleh dijadikan tauladan kepada dirinya serta
masyarakat.
"Syukur segala proses menggali serta mengebumikan semula mayat arwah ibu mentua berjalan lancar," katanya.
Abdullah berkata, selain kubur ibu mentuanya, beberapa kubur saudaranya turut dipindahkan.
Comments