Total Pageviews

JAWI, KOREA dan PUPUSnya 'Melayu'

Salam, saya mahu copy paste perihal seorang ahli akedemik KOREA yang sangat sukai tulisan JAWI sehinggakan risau ianya akan pupus. Jadi, selainnya satu tulisan, ia terkandung seribu rahsia. Dengan jawi lah segala perihal ketuhanan boleh di letakkan dan di jadikan satu Cipher/kod untuk di bongkarkan bagi yang ahli. Apakah anda bersetuju? atau tidak? Ikuti rencana ini...





KETIKA budaya K-pop popular dan diminati kalangan generasi muda negara ini, seorang ahli akademik Korea Selatan pula mengakui beliau menyukai tulisan jawi.
Penulis berpeluang menemu bual Prof Dr Kang Kyoung Seok dari Busan University of Foreign Studies, yang memberikan pandangannya mengenai tulisan jawi dan budaya Melayu.

Dr Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi, yang disifatkannya begitu indah.
 “Budaya Melayu ini, daripada lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut membuatkan saya jatuh cinta terutama lenggok tulisan jawi,” kata Dr Kang.

Cinta Kepada Tulisan Jawi
Cinta Dr Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah Universiti di Korea Selatan.
“Pensyarah saya masa itu beritahu bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi nama tulisan jawi. Bila saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya tidak tahu. Di Korea masa itu, tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai jawi pula amat kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji tulisan ini,” katanya.

Pada 1982, pertemuan Dr Kang dengan seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal dari Pattani, Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya dengan tulisan jawi.
Melalui Abdul Ghani, Dr Kang mengenali huruf jawi dan sistem penulisan ini. Buku tulisan jawi bertajuk ‘Sejarah Melayu Pattani’, menjadi kegemarannya pada masa itu.
Dr Kang membulatkan tekadnya untuk pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi dan pada tahun 1984 impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.
Namun persepsi rakyat Korea Selatan terhadap Malaysia pada masa itu menjadi cabaran besar bagi Dr Kang dalam merealisasikan impiannya.

“Masa itu Korea Selatan tidak mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita sekarang kawan baik. Dulu orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang mundur, miskin dan banyak masalah.
“Ibu bapa saya masa itu menangis tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia, tetapi saya sudah cintakan tulisan jawi dan saya mahu pergi belajar tulisan itu di Malaysia,” katanya.
Setelah melakukan kajian terhadap tulisan jawi sejak sekian lama, Dr Kang mengakui amat tertarik dengan kitab Al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat umat Islam di seluruh dunia.
“Paling menarik perhatian saya bagaimana tulisan jawi dalam kitab Al-Quran mampu menghasilkan cara bacaan yang amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah Al-Quran, amat indah dan buat jiwa saya tenteram,” katanya.



Jawi, Penyambung Legasi Bangsa
Dr Kang berkata generasi muda Malaysia sekarang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa.
“Tulisan jawi sekarang sudah tenat, tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar jawi juga semakin berkurangan
 kerana ramai pakar yang saya kenali telah bersara tanpa ada pengganti,” katanya.
Dr Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010.
“UPSI sebuah universiti yang mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini tulisan jawi, mereka akan ajar tulisan jawi ini kepada anak murid mereka, yang juga generasi muda negara ini. Maka semakin ramai tahu tulisan jawi,” katanya.

Beliau berkata pelbagai langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada sistem ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah difahami.
Media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas. Dr Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat Malaysia.

Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi.


Malaysia ‘Cikgu’ Saya
Mengimbau kenangan Dr Kang semasa pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah ini, Dr Kang menyedari persepsi rakyat Korea terhadap Malaysia meleset sama sekali.
“Keluar lapangan terbang saya lihat kemajuan Malaysia di sana sini, bangunan tinggi. Macam-macam jenis kereta saya jumpa, kereta mewah seperti BMW dan Mercedes pun ada,” katanya.
Selain itu, beliau turut tertarik kepada keunikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang hidup aman damai dan bekerjasama dengan baik bagi memajukan negara.

“Masa saya datang ke Malaysia, saya amat tertarik dengan konsep ini kerana masa itu Korea tidak banyak campuran bangsa di sana. Bila dunia semakin berubah, sekarang ramai bangsa lain datang ke Korea.
“Jadi Korea belajar untuk sesuaikan diri dengan pelbagai bangsa ini, tetapi Malaysia sudah lama belajar tentang ini dan saya belajar dengan Malaysia,” katanya.

Dr Kang turut tertarik dengan percampuran budaya antara kaum di negara ini, mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri seperti masyarakat baba nyonya di Melaka.
Beliau berkata masyarakat berbilang kaum ini membuatkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kaya dengan pelbagai kesenian dan kebudayaan yang diwarisi sejak berkurun lamanya.
“Apa yang menarik perhatian saya bagaimana budaya Melayu boleh berada di tengah-tengah dan menjadi pengikat semua budaya ini. Budaya Melayu ini amat istimewa, memang ramai pengkaji asing yang sukakanya termasuk saya,” katanya.

Dr Kang berpesan kepada generasi muda Malaysia: “Bagus jika kita memahami budaya lain dan tidak salah meminati K-pop. Tetapi jangan kita terlalu taksub hingga budaya dan identiti sendiri dipinggir dan dilupakan,” katanya. -FADZLI RAMLI, Bernama

p/s: sedang orang lain suka JAWI, kita di sini bagaimana? Cinta barat dan cinta modenisasi sehinggakan jati diri terabai?
Share this post :

+ comments + 2 comments

February 25, 2012 at 8:15 PM

salam saudara,

1st time saya baca post ni saya meremang...tak tahu kenapa...

terima kasih atas perkongsian...

-Annur-

January 22, 2013 at 11:39 PM

Salam tuan,

Tulisan JAWI ada di ajar di Sekolah.. tp kurang di titikberatkan oleh semua.. Hanya yg betul2 minat sahaja yang akan mencari keunikan dlm tulisan JAWI ini..

Apa yg unik dlm tulisan JAWI ini smp prof dr Korea ini sungguh berminat utk mengkaji itu yg menjadi persoalan..

Mintak pandangan dari sesiapa diluar sana yg boleh menceritakan keunikan yg ada pada tulisan JAWI ini.. moga kita semua mendapat keberkatan darinya..

Post a Comment

Artikel lama Nusanaga

ALL TIME POPULAR

 
TEAM: TUBEPANAS | atasbawah | fan page
Copyright © 1999. Nusanaga - All Rights Reserved
Template Created by NUSANAGA Published by hasellusiby
Proudly powered by Blogger